Thursday 25 October 2012

PENGGUNAAN E-BOOK DALAM PEMBELAJARAN DAN PENGAJARAN DI SEKOLAH


BY : NOR SILAWATI BINTI ALIMAN
      Selaras dengan Dasar Pendidikan Negara iaitu menghasilkan modal insan yang cemerlang menjelang negara maju pada tahun 2020, sistem pendidikan negara ditransformasikan melalui teknologi komunikasi yang canggih. Teknologi komunikasi tersebut adalah penggunaan mini laptop atau dikenali sebagai “e-Book” dalam proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah-sekolah rendah di Malaysia. Penggunaan e-book ini mula diperkenalkan oleh Menteri Besar negeri Terengganu iaitu Dato’ Ahmad Said yang bermula pada tahun 2009. Menurut beliau “prasarana yang kondusif adalah penting bagi melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi turut membangunkan minda serta sahsiah pelajar sebagai persediaan menghadapi cabaran global.

E-book adalah berbentuk elektronik dari sebuah buku yang biasanya diterbitkan dalam bentuk tercetak namun kali ini berbentuk digital. The new Concise Oxford English Dictionary (2001) mendefinisikan e-book sebagai sebuah versi elektronik dari sebuah buku tercetak yang dapat dibaca pada sebuah personal computer atau alat lain yang direka khusus untuk membaca e-book. . E-book juga telah dimuatkan dengan perisian buku teks digital bagi memudahkan pelajar-pelajar mengulang kaji pelajaran. . Terdapat dua unsur utama yang terdapat dalam e-Book iaitu berbentuk digital dan satu alat yang memerlukan “hardware” dan “software” serta perisian dalam penggunaannya. E-Book mempunyai 60,000 judul dan 104 bahasa yang terkandung di dalam nya yang boleh digunakan dalam sistem pembelajaran.

Di negeri Terengganu, sistem e-Book mula di perkenalkan kepada sistem pendidikan iaitu pada tahun 2009. Sebanyak 25,000 unit e-Book “mini laptop” telah di agihkan kepada  10,438 murid tahun lima dari 127 sekolah di negeri Terengganu. Antara sekolah yang telah menerima e-Book ialah SK Chendering, SK Gong Tok Nasek, SK Seri Budiman 2, SK Kubang Ikan, SK Pusat Kuala Ibai, SK Budiman, Sekolah Tanjung Gelam, Sekolah Institut Perguruan, Sekolah Kompleks Mengabang Telipot, Sekolah Gong Badak dan sebagainya. Pelajar-pelajar yang menerima e-Book terdiri daripada pelajar-pelajar tahun empat dan lima sekolah terbabit. Selain itu, Sekolah Pendidikan Khas juga turut menerima e-book iaitu seramai 7 orang yang mempunyai masalah pendengaran, bisu dan cacat penglihatan.

Pembelajaran dan pengajaran melalui penggunaan e-Book dapat membantu pelajar-pelajar mengurangkan beban untuk membawa buku teks ke sekolah dan pelajar-pelajar dapat meningkatkan prestasi pembelajaran, sekolah dapat mengurangkan bilangan pelajar yang tidak datang ke sekolah, senang dibawa dan dapat mengakses internet bagi mencari maklumat dengan pantas. Selain itu, e-Book juga dapat mendedahkan  teknologi-teknologi terkini dan canggih kepada pelajar-pelajar. Namun begitu, terdapat juga impak-impak negatif dalam penggunaan sistem e-Book, antaranya adalah pelajar-pelajar cenderung untuk mengakses bahan-bahan yang tidak baik seperti bahan lucah, aksi-aksi ganas, dan ada juga pelajar yang terlalu leka menggunakan laman-laman sosial seperti Facebook dan Twitter sehingga alpa terhadap pelajaran. Maka, pengawasan guru-guru dan ibu bapa amat penting bagi mengelakkan anak-anak terjebak dalam penyalahgunaan e-Book. Dalam penggunaan e-Book bagi pembelajaran dan pengajaran wujudnya pelbagai persoalan yang bermain di minda ibu bapa, guru-guru dan masyarakat sekeliling. Antara persoalan yang timbul adalah “adakah e-Book dapat membantu anak-anak dalam meningkatkan pelajaran?, adakah selamat penggunaan e-Book bagi murid-murid sekolah rendah?, bagaimanakah e-Book dapat membantu pelajar-pelajar dalam pembelajaran?” dan sebagainya. Maka, pihak kerajaan negeri Terengganu harus peka dalam setiap tindakan yang ingin dilakukan supaya tidak timbulnya permasalahan yang dapat mengganggu dan menjejaskan sistem pendidikan negara.

Maka dengan ini terbuktilah bahawa melalui teknologi komunikasi yang canggih dapat membantu dan menaik taraf  sistem pendidikan negara supaya dapat melahirkan generasi muda yang peka kepada teknologi komunikasi yang terkini. 
                                                         
                                                                                 
Transformasi sistem pembelajaran menggunakan buku teks kepada penggunaan e-Book


                                                                                                    

No comments:

Post a Comment