Saturday 20 October 2012

Teknologi Komunikasi Dalam Bidang Pendidikan Yang Berasaskan Pengajaran Pembelajaran Berbantukan Komputer (PPBK)

         By Chong Yii San 
            
Marcapada ini, tidak dapat dinafikan bahawa teknologi komunikasi dalam bidang pendidikan telah mempengaruhi kehidupan kita dengan mendalam dan memainkan peranan yang penting. Kita boleh memperolehi banyak maklumat dan ilmu pengetahuan melalui teknologi komunikasi. Pengajaran Pembelajaran Berbantukan Komputer (PPBK) merupakan salah satu contoh yang berkaitan dengan teknologi komunikasi dalam bidang pendidikan. Pengajaran Pembelajaran Berbantukan Komputer(PPBK) telah lama diperkenalkan iaitu kira-kira pada sekitar tahun 50-an. PPBK dikenali sebagai bahan yang dapat membantu guru dan pengalaman mereka dalam mata pelajaran yang diikuti. Kementerian Pendidikan telah menyediakan bahan PPBK yang secukupnya bagi empat mata pelajaran iaitu Matematik, Sains, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang akan digunakan oleh pelajar-pelajar.
Peranan guru-guru pula adalah untuk memberikan bantuan sebagai fasilitator di kalangan pelajar. Teknologi komunikasi  dalam pendidikan adalah suatu alat atau pendekatan saintifik dalam merancang dan melaksanakan proses P & P berbantukan teknologi komunikasi yang dapat membantu  pelajar dalam menguasai pembelajaran yang telah dirancang oleh sesuatu kurikulum atau mata pelajaran. PPBK juga dikenali sebagai Computer-Aided Instruction (CAI), Computer-Based  Instruction (CBI), Computer-Assisted Testing (CAT), Computer-Aided Learning (CAL) dan Computer-Based Learning (CBL). Secara umumnya, CAI digunakan di Amerika Syarikat, manakala CAL lebih popular di negara-negara Eropah. PPBK ialah penggunaan komputer dengan satu program yang sistematik dan teratur oleh pelajar dan guru untuk sesuatu pengajaran dan pembelajaran yang memerlukan satu interaksi yang aktif antara pelajar dengan komputer.

             Pengajaran Pembelajaran Berbantukan Komputer (PPBK) dapat memberi impak yang baik dalam proses P&P seseorang pelajar terutamanya pelajar yang berada pada tahap pencapaian akademik yang rendah. Hal ini demikian kerana seseorang pelajar yang  berada di tahap pencapaian akademik rendah amat memerlukan pelbagai kombinasi medium dalam pembelajaran mereka contohnya visual yang bergerak, animasi, teks, muzik dan grafik, di mana kesemua medium ini terdapat dalam multimedia yang boleh didapati di dalam pembelajaran berbantukan komputer. Kefahaman di dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah sesuatu yang amat diperlukan oleh pelajar untuk mengingati apa yang telah mereka pelajari.

            Terdapat pelbagai jenis PPBK yang mempunyai kelebihan dan kesesuaian masing-masing. Tidak kira sama ada dalam penggunaan mata pelajaran di peringkat rendah, menengah atau tinggi. PPBK boleh dijalankan dalam beberapa jenis iaitu tutorial, latih tubi, simulasi dan permainan. Pelajar boleh terus belajar melalui komputer melalui pakej-pakej yang disediakan.
      a)    Tutorial
Tutorial melibatkan komputer dapat memperkenalkan bahan-bahan pembelajaran yang disampaikan secara berperingkat-peringkat dan diikuti dengan soalan-soalan. Komputer yang bertindak sebagai tutor akan menyemak jawapan dan memberikan maklum balas kepada pelajar.   b)     Latih tubi
Latih tubi adalah memberi latihan dan pengulangan kepada pelajar terhdap sesuatu topik yang telah dipelajari. Penggunaan latih tubi dalam pengajaran dan pembelajaran dapat meningkatkan kemahiran dan pengetahuan pelajar.
      c)   Simulasi
Simulasi juga merupakan salah satu jenis PPBK yang kerap digunakan. Simulasi adalah satu keadaan atau sistem yang dimodelkan melalui komputer yang mengandungi maklumat tentang bagaimana keadaan atau sistem itu berfungsi. Pelajar berpeluang untuk menjalankan aktiviti untuk menguji hipotesis dan memahami kesan sesuatu tindakan terhadap sesuatu sistem atau keadaan sebelum menghadapi sesuatu keadaan sebenar.
      d)    Permainan
PPBK juga menggunakan pendekatan pengajaran sambil bermain untuk menarik minat pelajar menjadikan pembelajaran sesuatu yang menyeronokkan. Pelajar akan cuba menyelesaikan masalah dengan menjawab berdasarkan syarat, lojik dan hukum tertentu.

          Walaubagaimanapun, terdapat juga masalah dan kelemahan yang dihadapi oleh para guru dan pelajar dalam penggunaan Pengajaran Pembelajaran Berbantukan Komputer (PPBK). Antaranya termasuklah:
      e)     Kekurangan Kemahiran
Terdapat banyak guru yang tidak mahir dalam penggunaan komputer dan internet. Guru yang kurang mahir ini menyebabkan timbul sikap malas dan kurang minat menggunakan komputer untuk menjalankan P&P.
      f)     Sikap Negatif Guru
Terdapat sesetengah guru sudah biasa denagn cara pengajaran yang tradisional, oleh itu, mereka berasa penggunaan kaedah pengajaran tradisional sudah cukup untuk menyediakan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan di dalam bilik darjah. Keadaan ini telah memberi cabaran baru kepada profesion guru dan sistem pendidikan. Selain itu, terdapat juga sesetengah guru yang ‘buta ICT’, oleh itu, timbullah sikap negatif mengajar menggunakan komputer.
      g)      Jurang Digital
Jurang digital masih berlaku terutamanya di luar bandar. Ketidakseimbangan yang berlaku dalam masyarakat, ekonomi, pendapatan,  pendidikan, kemudahan infrastruktur, pemodenan dan sebagainya akan memberi impak negatif kepada penggunaan teknologi. Keadaan ini menyukarkan pengajaran guru di dalam bilik darjah memandangkan  sosioekonomi  pelajar di luar bandar yang rendah. Penggunaan komputer yang terhad dan tidak cukup juga boleh membantutkan penerimaan ilmu pengetahuan yang hendak disampaikan.

            Secara ringkasnya, Pengajaran Dan Pembelajaran Berbantukan Komputer mempunyai kebaikan dan kelemahan. Kebaikan yang boleh dilihat ialah penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran mampu meningkatkan kefahaman dan penguasaan pelajar terhadap mata pelajaran yang dipelajari. Selain itu, PPBK juga boleh meningkatkan motivasi mereka dalam pembelajaran di samping menggalakkan murid menggunakan teknologi maklumat yang semakin berkembang. Dengan penerapan pelbagai unsur media, Pengajaran Pembelajaran Berbantukan Komputer ini menjadi lebih seronok dan mencabar di samping memberi peluang kepada murid belajar secara berkesan dengan bimbingan yang minimum. Pengajaran Pembelajaran Berbantukan Komputer ini dapat memberi manfaat kepada murid serta guru kerana ia boleh digunakan sebagai alat bantu belajar kepada murid dan alat bantu mengajar kepada guru. Walau bagaimanapun jika teknologi komunikasi tidak lengkap dan tidak efisien, guru dan pelajar tidak dapat melaksanakan P&P dengan berkesan, maka pendidikan PPBK juga tidak dapat dilakukan dengan sempurna. Oleh itu , prasarana dan kemudahan di sekolah hendaklah dipantau bagi membolehkan penggunaan komputer secara meluas dalam kalangan guru-guru. Pengawalan dan pengawasan yang rapi terhadap teknologi komunikasi  tersebut perlu dititik beratkan  apabila menggunakan teknologi canggih ini.

Rujukan website: http://www.tutor.com.my/



1 comment:

  1. Betul hujah-hujah anda. Saya bersetuju bahawa Pengajaran Dan Pembelajaran Berbantukan Komputer memang mempunyai kebaikan dan kelemahan, oleh itu kita harus memaksimumkan kebaikannya demi kemajuan masyarakat serta melahirkan generasi baru yang lebih cerdik pandai.

    ReplyDelete