Monday 19 November 2012

Teknologi Pendidikan untuk kanak-kanak Sindrom Down


BY Nor Amirah Ayuni Binti Abdul Halim


Apa itu Sindrom down?
Sindrom Down atau trisomy 21 merupakan kecacatan genetik disebabkan oleh kehadiran sebahagian atau kesemua kromosom 21. Ianya dinamakan sempena John Langdon Down, doktor British yang pertama kali menggambarkannya pada tahun 1866. Keadaan ini bercirikan oleh gabungan perbezaan besar dan kecil pada struktur badan. Sindrom Down dikaitkan dengan kelemahan keupayaan berfikir (kognitif) dan tumbesaran kanak-kanak dan juga perwatakan muka. Selain itu, Sindrom Down biasanya dikenal pasti semasa kelahiran.

Mereka yang mempunyai Sindrom Down berkemungkinan mempunyai keupayaan kognitif lebih rendah berbanding purata, sering kali antara sedikit kepada sederhana terencat akal. Kelemahan perkembangan seringkali ditonjolkan sebagai kecenderungan terhadap pemikiran konkrit. Sejumlah kecil berhadapan dengan kecacatan akal yang jelas atau teruk. Sindrom Down dianggarkan sekitar 1 setiap 800 atau hingga 1 setiap 1,000 kelahiran. 21 Mac merupakan Hari Sindrom down yang disambut seluruh dunia.
Ciri- ciri fizikal
·         Anggota lebih pendek
·         Berbadan gempal
·         Kepala kecil dan mata sepet
·         Lidah tebal, kasar,  pendek dan cenderung untuk terjelir
·         Bukaan mata yang bujur
·         Hidung leper
·         Mata sentiasa berair dan merah, juling
·         Leher pendek dan besar
·         Tapak tangan hanya ada satu lipatan
·         Sendi longgar, otot lembik
Ciri-ciri lain
·         Pertumbuhan kanak-kanak Sindrom down tidak begitu ketara kalau dibandingkan dengan kanak-kanak normal, saiz fizikal mereka selalunya besar dari kanak-kanak biasa, badan mereka lebih gempal tetapi otot-ototnya nampak lembik. 
·         Dari aspek mental pula pertumbuhan agak lambat dari kanak-kanak biasa. Keupayaan untuk memikirkan tentang banyak perkara tidak dapat mencapai tahap seperti mana pertumbuhan pada kanak-kanak biasa. Keupayaan mental mereka agak terbelakang jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang sebaya dengan mereka. Ini mungkin disebabkan kerosakan saraf-saraf otak yang dialami oleh mereka.
·         Pertumbuhan dari aspek sosial pula begitu ketara jika dibandingkan dengan kanak-kanak biasa. Mereka agak lambat untuk berinteraksi dengan ahli-ahli bukan keluarga mereka seperti jiran, rakan sebaya dan guru. Mereka tidak pandai menyesuaikan diri dengan persekitaran mereka terutama dengan bukan keluarga mereka. Kemungkinan rasa rendah diri atau tidak mempunyai keyakinan diri menyebabkan mereka sukar menyesuaikan diri dalam masyarakat.
·         Selain itu, kanak-kanak sindrom down ini juga mempunyai emosi seperti kanak-kanak lain. Mereka akan ketawa, suka, menangis, sayangkan sesuatu seperti kanak-kanak normal yang lain.  Cuma bezanya kawalan emosi mereka tidak seperti kanak-kanak biasa. Mereka kurang mempunyai perasaan malu jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang sebaya dengan mereka.
·         Mereka juga berpotensi untuk mempunyai masalah kesihatan seperti berisiko mendapat jantung berlubang, mudah dijangkiti selesema, kurang pendengaran, masalah pertuturan dan penglihatan kurang jelas.

Teknologi dalam pendidikan

Penggunaan teknologi dalam pendidikan telah mula diperkenalkan sejak abad ke 21. Menurut Crowell (1971) dalam encyclopedia of education” Teknologi pendidikan ialah gabungan manusia, peralatan, teknik dan peristiwa yang bertujuan untuk memberi kesan baik kepada pendidikan. Hampir setiap negara mengalami revolusi dalam pendidikan sejak penggunaan teknologi yang semakin meluas. Di Malaysia, penggunaan ICT dalam pendidikan digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P), tidak terkecuali pendidikan khas di sekolah. Namun, keberkesanan penggunaan  teknologi  maklumat  juga  bergantung  kepada keterbukaan warga  pendidik menerima  teknologi  maklumat  dalam elemen  pengajaran  dan  pembelajaran yang  di rancangan oleh  mereka.
  
Warga pendidik contohnya guru menjadi nadi dan tulang belakang yang menjana keberkesanan pendidikan secara keseluruhannya, kita dapati semakin ramai di kalangan mereka sudah celik teknologi maklumat. Jika kita imbas 10 tahun yang lalu, kebanyakan guru tidak mahir dalam penggunaan komputer dan akses ke internet. Namun pada hari ini guru di sekolah sudah mahir menggunakan komputer dan menjadikan modul dalam pengajaran mereka. Perkembangan ini penting untuk melahirkan murid yang celik ICT dan bertaraf dunia. Hal ini juga merupakan langkah awal ke arah wawasan 2020.

Bagaimana teknologi membantu pembelajaran kanak-kanak SD ini?

Sebagaimana yang kita tahu, kanak-kanak SD mempunyai kesukaran untuk memahami, dan kesukaran untuk berkomunikasi dengan baik. Oleh itu, televisyen membantu kanak-kanak ini untuk berkomunikasi. Mereka akan cuba mendengar dan mengikut apa yang dilihat. Sebagai contoh, seorang kanak-kanak SD tidak mahu bergaul dengan masyarakat disebabkan mereka berasa rendah diri dan kurang keyakinan. Oleh itu, apabila menonton televisyen mereka dapat belajar cara berinteraksi dan berkomunikasi menerusi cerita kartun, drama atau program kanak-kanak. Setidak-tidaknya kanak-kanak ini mampu mengenal dunia luar menerusi aplikasi teknologi.
Selain itu, alat bantu yang lain ialah seperti komputer atau ipad. Jika sebelum ini, kanak-kanak SD belajar menggunakan kad-kad simbol atau ayat untuk belajar, kini mereka dapat belajar dengan lebih interaktif lagi. Aplikasi teknologi dalam pembelajaran membuatkan ilmu dapat disampaikan dengan cepat dan mudah menggunakan perisian tertentu. Sebagai contoh, dengan menggunakan grafik komputer kanak-kanak SD dapat belajar dengan lebih cepat. Kad simbol lebih menarik dengan warna, mempunyai muzik dan bergerak gerak menyebabkan mereka berminat untuk belajar dan tidak bosan. Jika menggunakan teknologi ipad lebih mudah kerana hanya perlu sentuh kepada skrin (touch skrin). Kanak-kanak SD ini lambat untuk memahami sesuatu namun tidak mustahil untuk mereka belajar.
Selain itu, buku audio turut membantu kanak-kanak SD ini. Buku yang telah direkodkan ini membolehkan pengguna untuk mendengar teks dan boleh didapati dalam pelbagai format seperti kaset CD, audio dan muat turun MP3. Buku audio ini boleh dimainkan semula pada bila-bila masa menjadikan proses pembelajaran lebih interaktif. Hal ini juga supaya dapat merangsang tahap penerimaan pembelajaran yang cepat.
Walau bagaimanapun, penggunaan teknologi tidak boleh dibandingkan sama sekali dengan peranan ibu bapa dalam mendidik kanak-kanak SD ini. Ibu bapa harus bersabar dalam mendidik mereka kerana secara fizikal mahupun mental tidak sama dengan kanak-kanak normal yang lain. Dapatkan nasihat doktor supaya kanak-kanak SD ini tidak dibiarkan.


Kejayaan golongan Sindrom down


Rosie Cross bersama seorang kanak-kanak sindrom down. Beliau berpendapat kanak-kanak SD ini mampu belajar bermain piano seperti kanak-kanak yang lain. Beliau merupakan guru muzik di Birmingham dan aktif mengajar muzik terutama untuk kanak-kanak kurang upaya seperti sindrom down.


Danangi merupakan kanak-kanak sindrom down yang pada mulanya mempunyai kesukaran untuk bercakap dan memahami sesuatu. Namun, hasil bimbingan guru nya iaitu Miranda Hemalatha serta sokongan daripada keluarga, Danangi mampu menjadi penari Kandyan dan Baratha natyam. Selepas beberapa bulan, Danangi mampu mengadakan konsert tarian solonya di auditorium kolej Bishop.


Kritikan

Pelbagai pandangan yang diutarakan tentang penggunaan teknologi dalam pendidikan. Ada menyifatkan satu perubahan positif ke arah membangunkan masyarakat. Namun hal perlu difikirkan ialah bagaimana masyarakat menerima sesuatu teknologi tersebut dalam kehidupan mereka. Jika dilihat dari aspek kanak-kanak sindrom down, walaupun teknologi mampu membantu mereka namun jika ibu bapa tidak yakin terhadap sesuatu teknologi maka tiada gunanya. Kebanyakan ibu bapa yang mempunyai anak SD ini tidak memberi peluang kepada anak mereka untuk belajar seperti kanak-kanak lain. Mereka merasakan yang kanak-kanak SD ini tidak mampu untuk belajar dan berusaha untuk mengasingkan mereka dari masyarakat. Kanak-kanak SD ini mampu berdikari jika ibu bapa memberi sepenuh perhatian dan kasih sayang kepada mereka.
Selain itu, tidak semua keluarga di Malaysia tahu menggunakan teknologi. Masih terdapat jurang digital atau gap dalam masyarakat. Masyarakat di bandar terus menerus mendapatkan lambakan informasi dan teknologi sedangkan masyarakat di luar bandar masih ketandusan maklumat dan teknologi. Oleh itu, kanak-kanak SD ini tidak dapat dibantu akibat daripada jurang tersebut. Walau secanggih mana pun teknologi hari ini harus diingat bahawa kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa adalah yang lebih utama.

Kesimpulan

Perkembangan teknologi yang berlaku sekarang tidak wujud dalam kekosongan. Dalam karangan Hamelink Information Revolution is actually happen when the transformation of society to better stage. No matter the improvement is happen in our society life, economic, culture(art and entertainment) or social politics. Oleh itu, penggunaan teknologi tidak boleh hanya tertumpu untuk pembangunan dari aspek material sahaja bahkan juga dalam aspek pendidikan insaniah masyarakat. Penggunaan teknologi secara optimum boleh membantu kanak-kanak sindrom down yang berpotensi untuk maju dalam kehidupan mereka. Mungkin mereka tidak boleh untuk mempelajari semua nya seperti kanak-kanak normal yang lain tetapi cukup sekadar mereka untuk mampu berdikari dan menjalani kehidupan yang lebih sempurna pada masa akan datang.





Sumber:
·         Down syndrome educational internationally
·         myMetro – artikel disiarkan pada 20/3/2011
·         berita harian online- artikel disiarkan pada
·         bacaan: Hamelink, is there life after the information revolution?
·         Laman web Pusat Kebangsaan Yayasan Sindrom Down Kiwanis (KSDF)
·         http://weedapkhas.wordpress.com


No comments:

Post a Comment