Wednesday 14 November 2012

TEKNOLOGI PENDIDIKAN DALAM KALANGAN WARGA EMAS


BY : NOOR SALIZA BINTI MUSTAFA

Menuju era globalisasi ini, teknologi sudah menjadi satu wadah yang wajib bagi semua golongan tidak kira sama ada yang muda ataupun yang tua. Apa apa yang berkaitan dengan kehidupan pasti akan dikaitkan dengan teknologi waima cara untuk memasak nasi juga sudah menggunakan teknologi. Mahu tidak mahu, kita terpaksa untuk ‘berjuang’ bersama sama dalam memahami apa yang disebut sebagai teknologi. Pada post kali ini saya akan cuba merungkai sedikit sebanyak mengenai teknologi pendidikan dalam kalangan warga emas. Warga emas merujuk kepada individu yang berumur 60 tahun dan ke atas seperti yang diterima pakai dalam  United Nations World Assembly on Ageing di Vienna (PBB, 1982) dan dalam kalangan negara-negara ASEAN.




 Jika kita lihat pada masa sekarang warga emas sudah menuju satu tahap yang sangat memberangsangkan apabila diajar menggunakan teknologi supaya memudahkan urusan harian mereka. Warga emas sekarang sudah maju satu tapak ke hadapan apabila mereka mula berminat untuk mendalami ilmu IT. Hal ini dapat diakui dengan melihat sekumpulan warga emas di Kupang, Kedah yang masih aktif dan tidak mahu ketinggalan mempelajari selok belok mengenai teknologi maklumat (IT) hasil kepesatan pembangunan negara termasuk Internet dan laman web. Menurut mereka, usia bukan penghalang untuk menimba ilmu pengetahuan yang berguna termasuk dalam bidang teknologi maklumat. Md. Zain Hanafi, 73, mengakui dia sanggup datang ke pusat tersebut semata-mata mahu memperluaskan ilmu pengetahuan dalam bidang teknologi maklumat. "Selagi ada usia saya akan terus belajar dan mendapat ilmu sebanyak mungkin supaya kita tidak ketinggalan zaman," katanya yang tinggal di Kampung Raja Kupang dekat sini. Menurutnya, jika tidak mempelajari sudah tentu pengetahuan mengenai Internet, blog dan sebagainya sukar untuk difahami. Md. Zain adalah antara peserta bengkel memahami komputer di kalangan warga emas anjuran Pusat Internet Desa (PID) Kupang yang sanggup mengikuti jadual yang ditetapkan semata-mata mahu memperoleh ilmu.

Di USM sendiri, sekumpulan pelajar tahun akhir Komunikasi Pemujukan Universiti Sains Malaysia (USM), mengambil inisiatif bagi memastikan golongan warga emas turut sama aktif dalam dunia teknologi maklumat dengan menganjurkan Konvensyen Rangkaian Sosial khas buat warga emas. Konvensyen bertemakan IT4 Connecting, Caring, Changing Lives of Seniors (e3Cs) yang diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada mereka terhadap kemudahan dan faedah penggunaan media sosial. Pengarah Projek, Nur Farah Asmaq Abdul Rahim berkata, acara kemuncak diadakan di Auditorium Dewan Budaya, USM bermula jam 9 pagi membabitkan hampir 200 peserta termasuk berusia 45 tahun ke atas. Menurutnya, ia mewakili ahli jawatankuasa kampung sekitar Pulau Pinang termasuk warga kampus USM yang akan membincangkan pelbagai topik antaranya perhubungan komuniti menerusi media sosial, perniagaan kecil melalui media sosial, cabaran dalam penggunaan media sosial dan pelbagai lagi.

Terlalu banyak faedah yang dapat diperolehi oleh golongan warga emas apabila mereka berminat untuk mempelajari teknologi maklumat ini. Kerajaan juga giat dalam memperkenalkan IT kepada warga emas. Hasrat ­kerajaan untuk melihat rakyatnya ­celik komputer direalisasikan ­dengan pemberian komputer riba 1Malaysia kepada golo­ngan dewasa termasuk warga emas. Perkara ini dibuat bagi memastikan rakyat Malaysia tidak buta IT tidak kira kanak- kanak, remaja, dewasa atau warga emas.



Apa yang dibuat oleh kerajaan sedikit sebanyak dapat membantu golongan warga emas dalam memahami apa itu IT. Sekarang ini, kerajaan telah pula memperkenalkan kampung tanpa wayar apabila memasang wi-fi secara percuma di kampung pedalaman. Ini akan memudahkan lagi golongan ini untuk menimba lebih banyak ilmu pengetahuan mengenai teknologi di hujung jari.
Saya berharap dengan post ini, orang ramai akan lebih memahami mengenai warga emas dalam teknologi pendidikan ini.

Sumber : Sinar Harian 9 Mei 2012
                  http://www.ejoesolutions.com
                  http://www.jkm.gov.my
                  http://www.kosmo.com.my
                  http://www.ictjkr.gov.my

No comments:

Post a Comment